SENAI – Syarikat perkhidmatan penerbangan­ Executive Jets Asia (EJA) bercadang membuat pelaburan sebanyak RM40 juta di Aviation Park Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTSA) dalam tempoh tiga tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif EJA, Prithpal Singh berkata, EJA bakal memulakan pembinaan lokasi mendarat seluas 80,000 meter kaki persegi di LTSA bagi menempatkan pesawat Airbus A320 dan B737 mereka.

"Kemudahan fasiliti ini akan dilengkapi dengan kemudahan tempat letak pesawat serta ruang legar yang luas selain kemudahan pejabat dan ruang simpanan.

"Ia dijangka siap sepenuhnya dalam suku pertama tahun depan dan boleh menempatkan dua pesawat Airbus 320 atau Boeing 737 dan sebuah jet kecil dalam satu masa," katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Pecah Tanah EJA di Le Granduer Senai, di sini, semalam.