Rabu, 27 Jun 2012

di negeri johor - Google Blog Search

di negeri johor - Google Blog Search


BN GAGAL URUS AIR <b>DI NEGERI JOHOR</b> : PR JANJI BERI <b>...</b>

Posted: 27 Jun 2012 08:39 AM PDT


Rakyat negeri Selangor telah dianugerahkan dengan satu nikmat yang mungkin tidak pernah terfikir oleh para penduduk di sana iaitu kerajaan baru yang mengambil alih pemerintahan daripada Barisan Nasional (BN) telah diberikan air percuma sebanyak 20 meter padu . Ia adalah merupakan satu hadiah yang sangat tinggi nilainya kerana dapat membantu meringankan bebanan rakyat Selangor yang perlu menanggung pelbagai kos dalam kehidupan seharian mereka.
Ternyata, kata-kata sinis pimpinan UMNO/BN Selangor yang ditewaskan dalam PRU ke 12 dahulu yang Selangor akan muflis kerana memberikan air percuma tidak kesampaian malah kerajaan Selangor kini mempunyai simpanan tunai sebanyak RM 1.9 billion walaupun tidak mengutip hasil air daripada rakyat.
PR Johor dalam kempen semasa ketika ini menjanjikan bahawa sekiranya PR diberikan kepercayaan untuk menjadi kerajaan yang baru maka ikrar PR adalah untuk memberikan air percuma dengan jumlah yang serupa dengan apa yang dinikmati oleh rakyat Selangor. Timbul persoalan sama ada itu semua adalah retorik semata dan hanya dijadikan gula-gula untuk memaniskan ucapan bagi menarik sokongan pengundi.
Kajian ringkas ini akan membuktikan bahawa sebenarnya rakyat Johor sepatutnya telah pun menikmati air percuma sejak dahulu lagi sekiranya BN benar-benar bertanggungjawab untuk mengurus air kepada rakyat dan kini tidak mustahil bahawa PR mampu untuk merealisasikannya.
Bekalan air adalah hak asasi manusia.
Tugas menyediakan bekalan air adalah satu tanggung jawab sosial kerajaan dan bukannya untuk mengaut keuntungan. Sama ada suka atau pun tidak, kerajaan perlu memastikan bahawa rakyat yang berada di bawah pemerintahannya mendapat kemudahan bekalan air kerana air adalah merupakan keperluan asas. Ia bukan sahaja ditegaskan di negara ini malah ia termaktub dalam pelbagai undang-undang antarabangsa, pengisytiharan dan konvensyen Bangsa-Bangsa Bersatu. Buktinya, Jawatankuasa Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Hak Ekonomi, Kebudayaan dan Sosial (UNECSR) telah mengambil langkah awal apabila mengisytiharkan bahawa hak untuk menikmati kemudahan Secara tidak langsung, menyediakan bekalan air adalah satu tanggung jawab sosial kerajaan dan bukannya untuk mengaut keuntungan.han air adalah hak asasi manusia yang asas dan semua negara hendaklah mewujudkan undang-undang bagi merealisasikan hak untuk menikmati kemudahan air ini.
Apa yang berlaku ketika ini adalah sikap lepas tangan kerajaan BN yang cuba untuk melepaskan tanggungjawab dengan menswastakan bekalan air di Johor yang mana secara umumnya pengurusan bekalan air swasta akan lebih cenderung dalam mengaut keuntungan serta meningkat nilai saham kepada syarikat serta pemegang saham syarikat tersebut dan inilah yang sedang dirasai azabnya oleh rakyat Johor.

Perlu di lihat terlebih dahulu sejarah perbekalan air di negara kita yang bermula sejak tahun 1804 apabila British telah mula memasang saluran paip air daripada kawasan bukit ke kawasan bandar bagi memudahkan pengurusan penggunaan air oleh British pada ketika itu. Ia seterusnya berlaku secara berperingkat di seluruh negara sehingga Malaysia mencapai kemerdekaan. Selepas merdeka, Jabatan Kerja Raya (JKR) telah diberikan tanggungjawab untuk membekalkan air ke seluruh negara sehingga ke tahun 1988. Pada tahun 1989 Jabatan Bekalan Air (JBA) telah ditubuhkan di Malaysia untuk menguruskan perbekalan air bersih kepada pengguna di Malaysia. Pada 2 Februari 1994, JBA yang menguruskan air di Johor telah diperbadankan dan dikenali sebagai Syarikat Air Johor (SAJ) dan tindakan memperbadankan JBA kepada SAJ merupakan langkah pengkorporatan yang telah dilakukan oleh kerajaan.
Maka, pada awal tahun 1997 kerajaan negeri Johor telah menerima cadangan penswastaan daripada syarikat Lambang Optima Sdn Bhd. (LOSB). Kemuncaknya, pada 19 April 1999 Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri Johor yang diketuai oleh Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman meluluskan secara muktamad akan terma dan syarat penswastaan itu.

Menerusi penswastaan SAJ ini, LOSB akan memiliki 80% saham dalam SAJ Holding. Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) yang mewakili kepentingan kerajaan Johor mempunyai 15% saham. Manakala 5% bakinya akan dimiliki oleh kakitangan SAJ dan kerajaan negeri Johor akan memegang satu saham istimewa. Manakala tempoh konsesi yang diberikan kepada SAJ Holding ialah 30 tahun. Kerajaan Johor memilih LOSB kerana LOSB dikatakan mempunyai kepakaran dalam urusan bekalan air, LOSB mempunyai pengalaman dalam bidang air dan kerajaan Johor melihat kemampuan kewangan LOSB untuk melaksanakan penswastaan SAJ.

Peringkat Penswastaan Air Johor

Penswastaan perkhidmatan bekalan air di Johor sebenarnya telah bermula lebih awal lagi sebelum wujudnya Syarikat Air Johor lagi. Kerajaan Johor telah mengambil keputusan untuk menswastakan sistem bekalan air secara berperingkat-peringkat bermula pada tahun 1992 dengan Syarikat Equiventures Sdn Bhd manakala pada tahun 1994 pula kepada Southern Water Corporation. Kedua-dua syarikat ini berperanan sebagai operator rawatan air. Hanya pada tahun 1999, Jabatan Bekalan Air Negeri Johor yang sebelum ini operasinya dikendalikan Jabatan Kerja Raya (JKR) telah diswastakan kepada Syarikat Air Johor Holdings (SAJH) sebagai pengendali operator rawatan air dan juga telah diberi hak sebagai pengedar bekalan air di Negeri Johor bagi tempoh 30 tahun. Bermakna, terdapat tiga buah syarikat yang terlibat secara langsung dalam memproses air bersih kepada rakyat Johor.

Sebab apa perbekalan air diswastakan? Menurut Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia pada ketika itu semasa majlis menandatangani penstrukturan semula perkhidmatan perbekalan air di Johor, kerajaan telah memperkenalkan konsep penswastaan yang mana ia telah dikenal pasti sebagai penyelesaian terhadap kekangan dan halangan dalam industri perbekalan air dan seterusnya beberapa syarikat konsesi telah pun menyertai industri ini dengan harapan mereka dapat menyediakan sumber kewangan yang mencukupi bagi meningkatkan kecekapan dalam industri perkhidmatan air.
Ini menunjukkan bahawa kerajaan mengambil langkah penswastaan dengan harapan pihak swasta yang mengendalikan perkhidmatan bekalan air khususnya di Johor dapat membantu kerajaan negeri mengatasi masalah untuk membekalkan air yang bersih kepada pengguna kerana ia adalah satu industri yang memerlukan kos yang tinggi. Bermakna, syarikat yang bersedia mengambil alih peranan membekalkan air ini mestilah sebuah syarikat yang mempunyai kemampuan daripada sudut pengalaman yang luas dan kewangan yang kukuh kerana faktor-faktor ini penting untuk memastikan tidak akan timbul masalah pada masa akan datang.

Kesan Penswastaan Air Di Johor
Apabila penswastaan air di Johor berlaku sudah pasti rakyat ingin melihat apakah manfaat yang mereka akan peroleh. Diperakui bahawa selepas proses penswastaan berlaku, hanya ada satu perkara sahaja yang boleh dibanggakan oleh kerajaan negeri Johor iaitu kerajaan melalui SAJ telah berjaya mengurangkan Kadar Air Tidak Berhasil (KATB) ataupun Non Revenue Water di Johor daripada 49% pada tahun 1999 kepada 29% pada tahun 2007.
Selain daripada itu, ia telah mendatangkan masalah dan bebanan kepada pengguna dan perkara yang ingin ditekan di sini adalah kenaikan tarif air yang tinggi. Kenaikan tarif air telah berlaku beberapa kali selepas daripada proses penswastaan air di Johor. Sebagai contohnya, sebelum diswastakan perbekalan air sekiranya sebuah rumah menggunakan di antara 1-15 m3 maka jumlah setiap m3 adalah sebanyak RM 0.30 dan jika jumlah yang digunakan di antara16 – 30 m3 air maka jumlah bayaran yang perlu dijelaskan adalah sebanyak RM 0.70 bagi setiap m3 air. Namun kenaikan tarif air telah berlaku pada tahun 2001, penggunaan di antara 1-15 m3 maka jumlah setiap m3 adalah sebanyak RM 0.30 dan jika jumlah yang digunakan di antara16 – 30 m3 air maka jumlah bayaran yang perlu dijelaskan adalah sebanyak RM 0.95 bagi setiap m3 air. Selepas itu, kadar kenaikan tarif diteruskan pada tahun 2003 dengan penggunaan di antara 1-15 m3 maka jumlah setiap m3 adalah sebanyak RM 0.38 dan jika jumlah yang digunakan di antara16 – 30 m3 air maka jumlah bayaran yang perlu dijelaskan adalah sebanyak RM 1.18 bagi setiap m3 air.

Maka, dengan kenaikan yang berterusan sudah sehingga mencapai tempoh semakan ke 7 iaitu pada tahun 2026 pengguna domestik di Johor akan merasai dan menanggung bebanannya. Kebimbangan dengan kenaikan tarif air ini berterusan apabila Ketua Pegawai Eksekutif syarikat induk SAJ Holdings, Ranhill Utilities Bhd. (Ranhill Utilities) iaitu Ahmad Zahdi Jamil membuat kenyataannya dengan menyebut bahawa jadual tarif baru itu telah dicadangkan kepada kerajaan negeri Johor dan ia dijangka diwartakan pada akhir tahun 2006 dengan kadar kenaikan tarif 2.4%.

Pada penghujung tahun 2008, terdapat ura-ura bahawa kenaikan tarif bekalan air di Johor sebanyak 18.9 peratus akan berlaku lagi seperti yang dijadualkan bermula 1 Januari 2009 namun telah ditangguhkan buat sementara waktu hingga satu keputusan muktamad dibuat oleh kerajaan sepertimana yang telah diumumkan oleh Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Shaziman Abu Mansor kerana rundingan yang berlangsung antara kementerian dengan Kerajaan Johor dan Syarikat SAJ Holdings Sdn. Bhd.
Namun, akhirnya tarif air terpaksa juga dinaikkan pada 1 November 2011 di seluruh negeri Johor setelah mendapat kelulusan daripada kerajaan Persekutuan seperti mana yang telah diumumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif SAJ Holdings, Abdul Wahab Abdul Hamid.
Penswastaan Air Johor Mendapat Bantahan

Sebenarnya, penswastaan air di Johor telah di bantah oleh banyak pihak bermula sejak daripada tahun 1999 lagi dan ia telah dimulakan oleh kakitangan Syarikat Air Johor Sdn Bhd sendiri.

Pada 2 September 1999, kakitangan SAJ telah menyerahkan satu memorandum bantahan terhadap kerajaan Johor yang mahukan SAJ kekal menjadi milik kerajaan negeri. Alasannya, kakitangan SAJ melihat bahawa penswastaan SAJ akan merugikan dan akan memberikan kesan ke atas ekonomi dan politik Johor. Mereka merujuk kepada dua program penswastaan yang telah dibuat iaitu Equiventure Sdn Bhd dan Southern water Corporation Sdn Bhd yang secara jelas telah pun merugikan Syarikat Air Johor dan kerajaan Negeri Johor. Apabila SAJ pula diswastakan bermakna segala hutang tertunggak khususnya di antara kerajaan negeri Johor dengan dua syarikat swasta terdahulu akan ditanggung oleh SAJ sedangkan SAJ masih baru untuk menguruskan perbekalan air tanpa bantuan kerajaan secara menyeluruh.
Bantahan kedua telah dibuat oleh Jawatankuasa Bertindak Membantah Kenaikan Tarif Air Johor (JBMKTAJ) yang terdiri daripada parti-parti politik, NGO dan individu yang berada di negeri Johor. Di antara usaha yang dibuat oleh JBMKTAJ adalah untuk memberikan penerangan dan mendapatkan maklum balas daripada pelbagai lapisan masyarakat.  Hasil daripada maklum balas tersebut, satu memorandum telah dibuat disediakan dan ianya telah diserahkan kepada Menteri Besar Johor dan kepada semua Pegawai Daerah yang ada di negeri Johor pada bulan Ogos 2003 untuk dinilai dan diambil tindakan kerana JBMKTAJ mengharapkan agar kerajaan Johor dapat mengurangkan bebanan rakyat sebagai pengguna. Memorandum ini telah menyebut tentang tidak wajarnya kerajaan Johor meluluskan permohonan kenaikan tarif air yang berkuat kuasa pada 1 Julai 2003 kerana sejak daripada penswastaan air pada 20 April 1999 tarif air telah dinaikkan sebanyak dua kali iaitu pada 1 Januari 2001 dengan kadar kenaikan 40% dan 1 Julai 2003 dengan kadar 30%. Kerana implikasi kenaikan harga air ini sudah tentu akan membebankan rakyat.
Bantahan ketiga muncul daripada hasil daripada kesepakatan beberapa parti politik dan NGO yang bergerak di atas nama Gabungan Bertindak rakyat Membantah Penswastaan SAJ (GBRM-SAJ) untuk membantah penswastaan Syarikat Air Johor. Di antara bantahan tersebut adalah berkaitan dengan penswastaan SAJ akan membebankan rakyat, GBRM-SAJ menegaskan LOSB tidak mampu daripada sudut kewangan dan LOSB tidak mempunyai pengalaman dalam menguruskan perbekalan air kepada pengguna. Kemuncak kepada tindakan GBRM-SAJ adalah mengambil langkah dengan mengambil tindakan memfailkan saman terhadap kerajaan negeri Johor dan SAJ di Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada 29 Julai 2003 untuk menuntut satu pengisytiharan bagi membatalkan kenaikan tarif air.

Bantahan keempat pula datangnya daripada Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) telah membuat satu laporan polis pada 7 Julai 2003 di Balai Polis Johor Baru terhadap elemen penyelewengan yang berlaku dalam perlaksanaan projek yang sedang dan akan dilaksanakan oleh SAJH yang mana kos pembinaan projek-projek tersebut seperti kos pembinaan loji pengeluaran air di Semangar, Seluyut, Pontian, Pagoh, Buluh Kasap dan Mersing, pembinaan empangan di Jenggeli, Lobak, Sayong dan Seluyut dan beberapa projek lagi terlalu tinggi dan DPPNJ melihat terdapatnya salah urus kewangan telah berlaku.
Penswastaan Air di Johor Gagal di Bawah Barisan Nasional
Walaupun penswastaan ar Johor telah ditentang oleh pelbagai pihak namun kerajaan negeri Johor bertindak memekakkan telinga kerana tidak mahu mendengar nasihat, pandangan dan teguran daripada rakyat dan mereka yang pakar dalam bidang ini. Akhirnya, penswastaan air Johor telah gagal dan menjadi beban kepada kerajaan. Kegagalan ini ini berpunca daripada kelemahan kerajaan Johor mengenal pasti tahap keupayaan sebenar Syarikat LOSB. Mengikut Hasan Karim ketika membentangkan kertas kerja dalam Forum Rakyat telah mempertikaikan ketiga-tiga alasan ini kerana LOSB adalah merupakan sebuah syarikat yang baru sahaja ditubuhkan iaitu pada 18 Julai 1995 dan sejak daripada ditubuhkan LOSB tidak berfungsi sebagai sebuah syarikat yang mempunyai bukti kemampuannya dalam mengurus perbekalan air.
LOSB juga tidak mempunyai pengalaman dalam bidang air dan cara mudah untuk memastikan bahawa LOSB dapat menjalankan kerja perbekalan air tersebut adalah dengan membeli sebuah syarikat lain iaitu Sempurna Pelita Sdn Bhd (SPSB) dan syarikat ini kemudiannya ditukar kepada SAJ Holding. SPSB juga adalah merupakan sebuah syarikat yang tidak beroperasi dan pengambilan LOSB terhadap Sempurna Pelita ialah semata-mata untuk mempercepatkan penubuhan syarikat baru (SAJ Holding) bagi mengendalikan penswastaan bekalan air di Johor.

LOSB juga tidak mempunyai kemampuan kewangan untuk melaksanakan penswastaan SAJ. LOSB yang ditubuhkan pada tahun 1995 itu mempunyai syer yang dibenarkan sebanyak RM 500,000.00 (lima ratus ribu) dan syer yang diterbitkan secara tunai sebanyak RM 150,000.00 (seratus lima puluh ribu) sahaja. Untuk mengambil alih SAJ, LOSB perlu membuat suntikan wang pendahuluan pemegang saham (share holders advance) sebanyak RM 545 juta atau membuat suntikan tunai (cash injection) sebanyak RM 65 juta.

Perkara kedua adalah disebabkan kerajaan Johor terpaksa menanggung hutang SAJ. Bekas Adun Senggarang YB Dr Mohd Ramli Bin Mohd Kari ketika membahaskan Bajet Kerajaan Johor 2006 di Persidangan Dewan Undangan Negeri Johor yang menyifatkan langkah Kerajaan Negeri menswastakan bekalan Air di negeri ini sejak tahun 2000 kepada Syarikat Air Johor Holdings Sdn. Bhd. (SAJH) sebagai satu kegagalan kerana tujuan asal kerajaan negeri melaksanakan program penswastaan ini adalah untuk lari dari beban hutang sebaliknya apa yang berlaku kerajaan negeri pula yang terpaksa menanggung hutang yang banyak berikutan penswastaan bekalan air ini. Pada tahun 2000 bilamana Syarikat Air Johor Sdn. Bhd. (SAJ) akan diswastakan kepada SAJ Holdings Berhad (SAJH), hutang kerajaan negeri atau SAJ kepada Kerajaan Persekutuan dan KWSP berjumlah RM1.105 bilion. Tunggakan bayaran balik kepada Kerajaan Persekutuan dan KWSP berjumlah RM116.7 juta manakala tunggakan kepada Equiventures dan SWC berjumlah RM65 juta. Akhirnya, laporan Audit Negara tahun 2006 dikeluarkan oleh Jabatan Audit Negara, Kerajaan Johor diumumkan sebagai negeri yang mempunyai hutang antara yang tertinggi kepada kerajaan pusat yang disebabkan kerana kerajaan Johor terpaksa membuat pinjaman kepada kerajaan Pusat bagi urusan perbelanjaan pembangunan sehingga berhutang sebanyak RM 655.88 juta kepada kerajaan pusat. Akibat daripada penswastaan air di Johor maka kerajaan negeri yang sepatutnya menerima geran sebanyak RM 100 juta setahun telah dihapuskan.

Perkara ketiga adalah disebabkan kerajaan Johor tidak mengambil iktibar daripada sejarah penswastaan air terdahulu. Apabila kerajaan negeri Johor mengambil keputusan untuk menswastakan secara keseluruhan perbekalan air di Johor ada kemungkinan keputusan tersebut dilakukan dengan tidak mengambil kira kesan yang sedang dilalui oleh kerajaan negeri apabila sebelum itu pernah menghadapi masalah penswastaan dengan dua syarikat bekalan air yang sedang beroperasi di Johor yang jelas ia merugikan kerajaan. Sebagai buktinya, perjanjian dengan Equiventures Sdn Bhd yang telah ditandatangani pada 28 Jun 1992 bagi membina 2 loji rawatan air iaitu Loji Rawatan Air Sungai Layang (Johor Bahru) dan Loji Rawatan Air Sungai Johor (Kota Tinggi). Berdasarkan kepada perjanjian ini Kerajaan Negeri terpaksa menjelaskan bayaran tetap secara bulanan sebanyak purata RM47 juta setahun bagi tempoh 20 tahun ke atas perbelanjaan modal yang dikeluarkan oleh Equiventures. Bayaran pada tahun 1998 adalah sebanyak RM58 juta. Selain itu Kerajaan Negeri perlu menjelaskan bayaran balik pembelian air bersih (bulk sales rate) kepada Equiventures sebanyak purata RM31 juta setahun bagi tempoh 20 tahun dan meningkat kepada RM48 juta sejak tahun 1998. Ini bermakna sebenarnya Kerajaan Negeri terpaksa membeli air dengan harga 25% lebih tinggi daripada harga sebenar seperti yang dilaksanakan oleh Jabatan Bekalan Air (JBA).
Kerajaan Johor Lepas Tangan Setelah Gagal Uruskan Perbekalan Air Johor Dan Di Ambil Alih Oleh Kerajaan Persekutuan.

Kerana telah menemui jalan buntu bagi menyelesaikan kemelut masalah penswastaan air Johor, satu perjanjian penstrukturan semula perkhidmatan air di Johor telah ditandatangani di antara kerajaan  Malaysia, kerajaan negeri Johor, Presiden Ranhill dan SAJ Holdings. Penstrukturan semula perkhidmatan bekalan air Negeri Johor ini melibatkan pengambilalihan aset-aset berkaitan air Kerajaan Negeri dan syarikat-syarikat konsesi yang dianggar berdasarkan Nilai Buku Bersih (Net Book Value) sehingga 31 Disember 2007, sebanyak RM4.025 bilion, manakala liabiliti ataupun tanggungan ke atas aset-aset berkaitan air tersebut pula dianggarkan bernilai RM3.179 bilion. Ini menjadikan lebihan sebanyak RM846 juta akan dibayar oleh Pengurusan Aset Air Berhad kepada Syarikat Air Johor Holdings (SAJH) kelak dan seterusnya memajakkan semula aset tersebut kepada SAJH yang akan menjadi pengedar air tunggal di negeri Johor.

Southern Water Corporation yang akan tamat tempoh konsesi pada tahun 2012 dan Equiventures Sdn Bhd yang akan tamat pada 2014 akan kekal sebagai syarikat konsesi sehingga tamat tempoh konsesi mereka nanti. PABB juga akan mengambil alih aset melibatkan loji rawatan air, rangkaian saluran paip dan empangan di Johor milik kerajaan negeri, SAJ Holdings dan Syarikat Air Johor Sdn. Bhd. Ini juga akan menamatkan konsesi merawat dan membekalkan air di Johor yang dipegang oleh SAJ Holdings, anak syarikat Ranhill Utilities Bhd. (Ranhill).

Walaupun kerajaan Johor boleh menarik nafas kelegaan namun perlu diingat bahawa walaupun ini sebenarnya telah mengurangkan bebanan kerajaan Johor namun apabila PABB mengambil alih perbekalan air di Johor, bukan sahaja kerajaan Johor telah kehilangan SAJ yang diswastakan sebelum ini malah PABB juga akan mengambil alih aset melibatkan loji rawatan air, rangkaian saluran paip dan empangan di Johor milik kerajaan negeri Johor. Bermakna, kerajaan Johor telah mengalami kerugian kerana kerajaan Johor telah kehilangan aset seperti empangan dan loji rawatan air.

Berpandukan kepada maklumat yang telah dijelaskan dapat disimpulkan bahawa projek penswastaan bekalan air Johor telah gagal mencapai matlamatnya. Apa yang pasti kegagalan ini mesti ditanggung oleh pemerintah iaitu Barisan Nasional yang gagal melihat dan mengambil pandangan daripada pelbagai pihak terhadap penswastaan air di Johor ini.
Rakyat Johor akan Menikmati Air Percuma di bawah PR
Jika kita melihat dan menilai tindakan yang dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional sepanjang menguruskan air di Johor maka kita pasti akan mengakui bahawa Barisan Nasional telah gagal memberikan bekalan air yang baik dengan kos yang rendah disebabkan kepentingan golongan kapitalisme yang berpaut kepada pemerintah. Disebabkan itu, rakyat Johor terpaksa menanggung kos penswastaan dengan membayar bil air yang meningkat naik setiap tiga tahun akibat daripada kadar tarif yang perlu dinaikkan oleh kerajaan. Bukan sahaja tarif air meningkat malah hutang kerajaan juga terus meningkat yang mana sepatutnya ia tidak berlaku kerana ia telah diswastakan.
Sekiranya perbekalan air Johor dapat diuruskan dengan baik maka percayalah bahawa bukan sekadar kerajaan negeri tidak akan terbeban dengan hutang malah rakyat Johor juga akan berupaya menikmati bekalan air percuma seperti mana yang dinikmati oleh rakyat di negeri Selangor pada ketika ini. Perkara ini akan diperjelaskan dalam penulisan yang akan datang dengan memberikan beberapa lontaran idea dan cadangan yang dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Khairul Faizi bin Ahmad Kamil

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

ads