Rabu, 13 Februari 2013

01 di skudai - Google Blog Search

01 di skudai - Google Blog Search


JOHOR DARUL TAKZIM: Burung hijrah <b>di</b> Sungai <b>Skudai</b>

Posted: 10 Feb 2013 03:24 AM PST

JOHOR BAHRU  - Anda ingin menyaksikan telatah pelbagai jenis unggas yang berterbangan bebas dan gagah di kawasan habitat asalnya?

Jika itu yang diidamkan, lokasinya hanya terletak kira-kira 10 kilometer dari bandar raya ini. Anda boleh menyaksikan helang, bangau, undan, kelicap, merpati, siku lidi, itik air, punai dan puluhan lagi jenis unggas berterbangan bebas di sepanjang Sungai Skudai mengunjur ke Kampung Laut, Sungai Melayu hingga ke Teluk Danga.

Kehadiran burung hijrah ini disedari kira-kira lapan tahun lalu oleh petugas Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT) yang menjalankan kerja-kerja pembersihan Sungai Skudai ketika itu.
Walaupun pada peringkat awal hanya kumpulan kecil unggas itu sahaja yang kelihatan, namun dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini, kehadiran burung-burung tersebut semakin bertambah sekali gus menunjukkan lokasi tersebut sesuai sebagai tempat pembiakannya.

Antara tarikan burung hijrah itu kerana kawasan di situ kaya dengan cacing laut, pelbagai jenis ikan, kerang-kerangan dan rumpai laut yang merupakan sumber utama makanan unggas terbabit.
Kini kehadiran kumpulan burung hijrah itu menjadi salah satu tumpuan orang ramai dan secara tidak langsung merupakan produk pelancongan baharu bagi penduduk Kampung Sungai Melayu selain daripada perusahaan membuat belacan, ternakan kupang dan nelayan tradisional.

Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Kampung Sungai Melayu, Hamidon Ahmad berkata, keadaan sungai yang tercemar suatu ketika dahulu kini bertambah baik apabila kerajaan menggunakan teknologi mikro organisma berkesan (EM) ke Sungai Skudai untuk membersihkannya sehingga meningkatkan pembiakan pelbagai spesies marin.

"Turut mencuri perhatian pengunjung jika bernasib baik boleh menyaksikan burung helang yang jinak hinggap di tapak tangan bapa angkatnya, Mohd. Seh Salim, 53, untuk menyambar ikan, ketam atau apa juga makanan laut mentah," katanya yang menemani wartawan dan jurugambar Utusan Malaysia menyaksikan kumpulan burung itu baru-baru ini.

Beliau yang juga Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan Johor Selatan berkata, kehadiran pelbagai jenis burung itu sedikit sebanyak menambah sumber pendapatan penduduk yang selama ini bergantung hidup daripada hasil tangkapan sebagai nelayan, perniagaan secara kecil-kecil dan makan gaji.
Hamidon memberitahu, waktu yang paling sesuai untuk melihat burung hijrah mencari makanan adalah ketika air surut, lazimnya antara pukul 5 petang hingga 7 malam.

"Bagi kemudahan para pelancong, kita sediakan perkhidmatan bot yang menyusur sungai berkenaan pada kos yang amat berpatutan dan berbaloi.

"Perkhidmatan ini disediakan oleh Koperasi Penduduk Kampung Sungai Melayu (KPKSM) yang beroperasi sejak Disember lalu dan mendapat sokongan daripada Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA).

"Pada mulanya kami tidak menyangka aktiviti ini mendapat sambutan menggalakkan, tetapi kini ramai pengunjung yang datang terutamanya pada musim cuti sekolah dan cuti umum," katanya.

Hamidon berkata, demi keselesaan pengunjung, pihaknya turut menyediakan pakej makanan dengan menu berasaskan makanan laut seperti ikan siakap bakar, asam pedas ikan sembilang, kupang goreng, udang goreng dan sambal belacan istimewa.

Orang ramai yang ingin mendapatkan keterangan lanjut atau membuat tempahan boleh menghubunginya di talian 013-7490280 atau 016- 950707 (Pandak Ahmad).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

ads