Khamis, 14 November 2013

01 di kluang - Google Blog Search

01 di kluang - Google Blog Search


Kepada Blog Aku Bercerita: Hutan Lipur Gunung Belumut, <b>Kluang</b> <b>...</b>

Posted: 08 Nov 2013 06:45 AM PST

Terletak kira-kira 30 kilometer dari Bandar Kluang, Hutan Lipur Gunung Belumut mungkin sudah tak asing lagi bagi penduduk sekitar daerah Kluang, Mersing dan Batu Pahat. Hutan lipur ni terletak di Felda Ulu Dengar, Kluang, Johor. Gunung Belumut, dengan ketinggian kira-kira 1010 meter dari aras laut, merupakan gunung ketiga tertinggi di negeri Johor selepas Gunung Ledang (1276 m) dan Gunung Besar (1035 m). Gunung ni dikatakan mendapat nama kerana batu-batu di gunung ini yang licin dan berlumut.
Perjalanan ke Hutan Lipur Gunung Belumut mengambil masa kira-kira setengah jam dari Bandar Kluang. Untuk ke sana, pengunjung dari arah Ayer Hitam dan Kluang perlu melalui jalan persekutuan 50 (Jalan Kluang Mersing) menghala ke arah Mersing. Kira-kira 13 kilometer dari bandar Kluang, masuk ke simpang kanan dan ikut jalan ke Felda Ulu Dengar.
Anda akan memasuki Felda Ulu Dengar sebelum memasuki laluan ke hutan lipur tersebut. Papan tanda arah disediakan di sepanjang perjalanan, jadi kemungkinan untuk sesat adalah rendah. Laluan dari Felda Ulu Dengar ke hutan lipur agak kecil melalui kebun kelapa sawit dan ada sesetengah kawasan yang rosak jalannya. Elakkan memandu laju untuk mengelakkan perkara yang tak diingini.

Bayaran di hutan lipur ini seperti berikut (pada ketika entri ini ditulis):
Cara pengiraan: contohnya anda datang ke sini menaiki kereta seramai 4 orang dalam satu kereta. Jadi bayarannya ialah 4 orang X RM2 = RM8.00. Tambah dengan bayaran letak kereta RM2.00, jadi jumlah bayaran ialah RM10.00. Tandas cuma bayar apabila hendak gunakan sahaja.

Bagi sesiapa yang nak mendaki, perlulah mendapatkan kebenaran dan membuat bayaran permit di Pejabat Hutan Daerah Johor Tengah. Boleh hubungi Unit Hutan Lipur di talian 07-2667433 untuk maklumat lanjut.

Kemudahan di hutan lipur ni agak lengkap. Ada tandas awam, dewan serbaguna dan chalet disediakan untuk kegunaan para pengunjung dengan bayaran tertentu. Selain tu, ada juga taman permainan untuk kanak-kanak dan wakaf untuk pengunjung berehat. Surau juga disediakan untuk pengunjung beragama Islam supaya mereka tak lupa akan kewajipan pada Penciptanya.
Secara keseluruhannya, kawasan hutan lipur ini sangat bersih. Jarang jumpa sampah sarap bersepah-sepah di sana sini. Kawasan sungai untuk mandi di sini juga menarik sebab banyak kolam-kolam yang terbentuk sepanjang sungai yang sesuai untuk mandi manda. Sesuatu yang paling menarik ialah kawasan di sini tak sebegitu curam kalau dibandingkan dengan kawasan Air Terjun Gunung Ledang di Tangkak. Kawasannya landai dan tak perlu mendaki tangga-tangga tinggi. Tapi dari segi seronok atau tak seronok, sebenarnya tak adil kalau saya bandingkan dengan Gunung Ledang sebab saya datang ke sini pada waktu hari bekerja di mana pada waktu ini orang tak ramai dan suasana memang sunyi berbanding Gunung Ledang yang kebiasannya saya kunjungi pada cuti sekolah atau hujung minggu.
30 Oktober 2013. Buat pertama kalinya saya menjejakkan kaki di Hutan Lipur Gunung Belumut ini. Perjalanan tak dirancang, kawan-kawan ajak, terus jadi dan ikut. Kami ke sana seramai 14 orang menaiki 4 buah kereta tapi tak konvoi pun. Jalan asing-asing je.
Kami bertolak dari Batu Pahat kira-kira jam 9.30 pagi. Perjalanan mengambil masa lebih kurang sejam setengah melalui jalan persekutuan 50 menghala Mersing. Alhamdulillah perjalanan lancar tanpa sebarang kesesakan teruk dan sebagainya. Saya menumpang kereta milik Aizzat untuk ke sana.
Semasa sampai, cuma ada dua kereta milik pengunjung lain di sini. Lagipun hari tersebut hari kerja, jadi tak ramai pengunjung yang datang. Selepas seketika menunggu, kawan-kawan lain pun sampai dan kami bergerak ke tempat mandi.
Kawasan air terjun ni memang mendamaikan. Rasa tenang bila berada di sini. Tambahan pula, orang tak ramai. Kalau datang hujung minggu tak tahulah pulak macam mana keadaannya.
Sambil berjalan menuju tempat pilihan, mata terpandang juga kanak-kanak dan pelajar-pelajar sekolah sedang mandi-manda. Beg sekolah dan kasut sekolah bersusunan atas wakaf rehat berhampiran. Pada fikiran saya, mereka pastinya ponteng dari sekolah dan melencong ke sini. Kalau bukan ponteng sekolah, kalau betul mereka cuti sekolah secara sah, kenapa beg sekolah dan kasut sekolah dibawa bersama? Terfikir sejenak, ibu bapa mereka tahukah mereka datang ke sini? Pada adik-adik yang membaca, jangan tipu ibu bapa, buruk padahnya nanti.
Kami tiba di kawasan pilihan. Kami menyeberangi sungai untuk ke kawasan lapang berpasir di seberang.
Sambil berjalan dalam air, terdengar orang berbual-bual. Saya perhatikan sekeliling. Dah sampai seberang, baru perasan sebalik tebing sungai yang tinggi tu ada sepasang kekasih sedang berendam berdua-duaan dalam sungai. Istighfar sekejap. Kalau tak takut pandangan orang lain pun, takutlah pada Allah kalau nak buat sesuatu tu. Err.. tak pe lah.. sangka baik.. dah kahwin kot. Bila dengar diorang borak-borak dengan kawan-kawan diorang yang lain yang datang kemudian, rupanya pelajar sekolah jugak, melencong ke sini.
Yang lain dah terjun dahulu. Saya dan beberapa yang lain bersiap-siap menyediakan tempat masak untuk menyediakan makanan. Kami masak sosej goreng, sardin dan telur hancur untuk dimakan bersama roti. Beberapa kali juga mereka yang mandi manda ni naik nak gantikan saya yang masih memasak, tapi saya suruh mereka terus mandi sebab saya memang seronok buat kerja masak memasak ni.
Kawasan yang kami mandi ni ada satu tebing yang tinggi. Di sinilah pengunjung selalu buat aksi terjun tiruk pelbagai aksi. Kementerian Belia dan Sukan, kalau nak cari bakat-bakat baru untuk acara terjun, bolehlah berkunjung ke sini. Ramai insan-insan berbakat di sini sebenarnya. Jangan abaikan bakat mereka ini. Boleh jadi mereka ni berpotensi menjadi atlet terjun yang sangat baik.
Tebing tempat orang terjun ni memang tinggi. Ketinggian lebih kurang satu setengah tingkat bangunan rasanya. Kalau suruh saya terjun memang saya tak berani sebab terlalu tinggi. Tambahan pulak air sebelah bawah tu memang dalam. Ada peristiwa saya termasuk tempat dalam tu. Dasarnya banyak daun-daun kering, tunjal kaki banyak kali pun tak dapat naik ke permukaan. Akhirnya saya terpaksa tarik kawan saya yang berada berhampiran. Maklum la, tak reti berenang. Alhamdulillah selamat. Kalau tidak tak ada la entri ini.
Bila dah berenang, badan mula penat. Masing-masing naik ke tebing meratah makanan yang dah tersedia. Seronok makan beramai-ramai sebegini, tambahan pula di tempat yang damai dan menenangkan. Laju je makanan habis.

Kira-kira jam 2 petang, kami mula berkemas-kemas untuk pulang. Surau di hutan lipur berkunci. Jadi kami singgah sebuah masjid dalam perjalanan pulang untuk solat Zohor berjemaah. Sempat jugak singgah minum-minum di Kluang Rail Coffee di Stesen Kereta Api Kluang. Sempat jugak tengok sebuah kereta api masuk. Tetiba teringat semester ni belum naik kereta api lagi.

Letak sikit gambar kenang-kenangan.


Sekian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

ads