Aku dilahirkan di Muar (Muo kata orang Muar) dan dibesarkan di Tangkak. Walaupun bahasa melayu diambil daripada bahasa Johor/Riau, tetapi orang-orang Muar dan Tangkak mempunyai gaya bahasa yang sedikit berbeza apabila bertutur. Arwah Tok Tan aku misalnya, mempunyai gaya loghat yang 'distinctively Tangkak'. Banyak perkataan-perkataan yang biasa dituturkan masyarakat Muar dan Tangkak yang aku telah lupa. Jadi sebagai
tribute untuk Arwah Tok Tan dan orang-orang Muar / Tangkak, aku akan cuba untuk menyenaraikan sebanyak mungkin perkataan dalam loghat Muar / Tangkak apabila aku teringat.
Ampar (sebutan Am-po) = Hamparan, permaidani
Anu = Si folan = Dia ke tangkak dengan si anu tu, anak Noh Itik.
Basan = pakaian basahan , pakaian harian
Berlengas = Badan melekit
Bersendor = Berdengkur
Berteromba (sebut beteghombe) = Bermain-main, berlari-lari dan bersuka ria (kebiasaan oleh anak-anak kecil dalam rumah),
Centong = Senduk
Endut = kekasih - Kau dah ada endut Syam?
Gak Ngapa? = Mengapa?
Gak Ya (sebut 'ye') = Ya kah?
Gebor = Selimut
Gedobos = Longgar (pakaian)
Genjot = Merajuk
Ghobok = Almari
Godak = Kacau, gaul
Hempok = Pukul
Jajan = Makanan ringan - Nanti atuk balik belikan jajan ek
Jerang = Masak air - Kau usah balik dulu, Makcik kau tengah jerang air.
Kain Sal = Tuala
Katup = Tutup
Kejam = Selain zalim juga bermaksud pejam mata
Kelebang = Malas tahap tertinggi selepas, malas dan kelesa = Kau nak jadik apa ni? Tak ada orang nak dengan perempuan kelebang tau tak.
Kelesa = Malas tahap pertengahan (tetapi lebih teruk dari malas biasa)
Kecur = Terliur
Kemut = Selain mengetatkan otot-otor seperti manahan buang air besar, juga bermaksud kedekut
Kerok = Garu
Ketetel = Lari laju atau benda bergerak pantas (tetapi tak smooth)
Lepa (sebutan Lepe) = Terleka atau hilang tumpuan = pantang lepa cepat saja tangan budak ni mencapai
Meladung = Air bergenangan - Kenapa tak ditutup paip tu? Habis air meladung dalam bilik air.
Melak = Agaknya, mungkinkah (sama seperti 'kut-kut lah' atau 'mana lah tahu') = Aku nak mengail ikan, melak dapat toman
Melacak = Banyak bertaburan = Gi kutip jambu air yang melacak ke tanah tu.
Membeser = Buang air kecil
Memerut = Buang air besar
Mencangut (atau disebut encangut) = Sesak nafas - Alah aku ni tak boleh dibuat beteghomba, mencangut
Mengkal = Padat, sendat - Kecik sangat seluar tu sampai mengkal peha
Mengopes = Menyelongkar
Mengelaso (atau ngelaso) = Perbuatan tak reti duduk diam lazimnya oleh anak kecil - Cuba duduk diam-diam, mengelaso je dari tadi
Menjengkit= Merayau atau pergi berjalan (selalunya dengan tanpa izin) - kau nak kemana saja ni? Asal petang je menjengkit, cuba lah duduk duduk rumah dah nak maghrib ni.
Menonong = Berbuat sesuatu tanpa berfikir atau toleh kiri kanan - Amboi menonong je, tak singgah dulu ke Cik Enon?
Meraban = Tak tentu hala
Pak kal (selalunya ditambah 'lah') = Nasib baik lah - Pakkal lah kau ni cucu aku kalau tidah aja ku hempok dengan penyapu ni
Rak = Cakap beria-ia - Bagai nak rak Cik Enon bercerita pasal parti tupperware tu
Ralit (sebut ghalit) = Asyik, tekun - Ralit si beruk tu mencarik kutu si abu
Ralit = Mengantuk - ralit mata aku ni menganyam ketupat dari subuh tadi
Semenggah = Elok, kemas, antonim, Tak Semenggah = Tak elok - cuba kau tukar baju ni, tak semenggah aku tengok
Tak Masal = Tak fasal-fasal
Tagas = Nakal, degil
Talak = Dibiarkan - Kenapa ditalakkan budak tu menangis?
Tanak = Masak Nasi - Kau jangan balik dulu, Makcik kau tengah tanak nasi
Terkelempap = Bau kurang enak disebabkan humidity dan pengudaraan yang tak baik
Tengkar (sebut Tengko) = Degil, melawan atau tidak mendengar kata = Jangan tengkar, aku kata! Jerit Tok Tan pada ku
Terejal = Terlampau nakal, dan tak mendengar kata
Tiada ulasan:
Catat Ulasan