Isnin, 12 September 2011

01 di parit sulong - Google Blog Search

01 di parit sulong - Google Blog Search


Suami dan Isteri terperosok bawah Bas ~ Sungai Rapat Online

Posted: 10 Sep 2011 07:55 AM PDT


Sepasang suami isteri bukan hanya ditakdirkan mati bersama, tetapi lebih menyayat hati mayat si isteri ditemui dengan senaskhah surah Yasin di atas badan mangsa, dipercayai dibacanya sebelum kereta yang dinaiki bertembung bas Politeknik Johor Bahru (PJB) dalam nahas di Kilometer 47, Jalan Johor Bahru-Mersing, di sini, pagi semalam.

Pasangan suami isteri itu yang juga peneroka FELDA Lok Heng Barat, Abu Sarimi, 63, dan isterinya, Zaharah Giser, dalam perjalanan ke rumah anak mereka untuk mengambil MyKad yang tertinggal.
Dalam kemalangan kira-kira jam 9 pagi berhampiran ladang Lembaga Getah Malaysia (LGM) itu, Proton Iswara dipandu Abu, terperosok bawah bas berkenaan sebelum diseret lebih 20 meter, menyebabkan pasangan itu tersepit dalam remukan kenderaan itu.
Ketika kejadian, pasangan dari rumah di Blok 17 FELDA Lok Heng Barat, dalam perjalanan ke arah Kota Tinggi untuk ke rumah anak mereka di Larkin Perdana, Johor Bahru kerana Abu berhasrat mengambil MyKad miliknya yang tertinggal di sana, Rabu lalu.

Sepasukan anggota Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi dikejarkan ke lokasi kejadian bagi membantu menarik kenderaan yang terperosok itu sebelum mayat pasangan itu dapat dikeluarkan dari remukan kenderaan itu.

Pemandu bas PJB, Mohd Ismail Daud, 29, bersama 30 pelajar serta tiga pensyarah mereka yang menaiki kenderaan itu dalam perjalanan menghadiri kursus di Pulau Sibu dekat Mersing, bagaimanapun tidak cedera.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superitendan Suhaimy Hashim, ketika dihubungi, berkata pasangan suami isteri itu mati di tempat kejadian. Punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan, katanya.

Sementara itu, anak keempat mangsa daripada tujuh beradik, Suraya Abu, 30, mengakui pasangan itu dalam perjalanan ke rumahnya di Johor Bahru, kerana bapanya mahu mengambil MyKad yang tertinggal selepas mendapatkan rawatan kesihatan di Hospital Sultan Ismail, pada Rabu lalu.

Ayah berkeras nak memandu sendiri ke rumah kami walaupun dinasihatkan berulang kali supaya membatalkan hasratnya dan disuruh berehat kerana keadaannya yang kurang sihat.

Pagi ini, ayah ada hubungi beritahu nak datang ke rumah kerana mahu mengambil kad pengenalannya yang tertinggal. Kami tidak benarkan ayah memandu kerana tahu dia kurang sihat kerana menghidap penyakit semput dan gastrik. Lagipun kami adik beradik memang bercadang nak balik hujung minggu ini untuk mengadakan kenduri di rumah ayah, katanya.

Seorang lagi anak mangsa, Aida Abu, 34, pula tidak menyangka permintaan arwah bapanya yang begitu beriya-iya meminta mereka sekeluarga merakam gambar bersama-sama pada hari raya pertama lalu petanda ayahnya akan pergi buat selama-lamanya.

Sebelum ini memang ayah tidak berapa kisah untuk mengambil gambar (dengan keluarga), namun pada hari raya kali ini dia bersungguh-sungguh mahu mengambil gambar bersama keluarga walaupun kami tidak memakai pakaian sama warna. Rupanya inilah kenangan terakhir kami bersama arwah sebelum dia pergi selama-lamanya, katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

ads