Jumaat, 23 September 2011

01 di stulang - Google Blog Search

01 di stulang - Google Blog Search


Malaysia Zoom » Tiga kaum bergabung beri bantuan

Posted: 17 Sep 2011 04:07 PM PDT

JOHOR BAHRU 17 Sept. – Inisiatif penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Stulang di sini yang terdiri daripada pelbagai kaum dalam membantu orang kelainan upaya (OKU), seharusnya diberi pujian.

Usaha murni penghuni Melayu, Cina dan India PPR tersebut wajar dijadikan contoh, sekali gus mencerminkan perpaduan semangat 1Malaysia.

Sempena sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia semalam, mereka menziarahi dan menyampaikan sumbangan kepada kanak-kanak OKU, Mohd. Adi Alfam Benny Karmilan, 13, yang kini terlantar di rumah akibat penyakit Subacute Sclerosing Panencephalitis (SSPE) atau masalah dengan urat saraf.

Kunjungan ke Blok E, PPR Sri Stulang itu diketuai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stulang, Mok Chek Hou bersama Ketua UMNO Cawangan Rumah Pangsa Bukit Chagar, Mohd. Nasir Ahmad; Pengerusi MIC Cawangan Jalan Vijaya, Gubachen Singh dan Peniaga Kedai Runcit PPR Stulang, Lim Tai Chun.

Menurut Chek Hou, inisiatif penghuni itu amat bertepatan dengan gagasan 1Malaysia iaitu memaparkan keprihatinan tanpa mengira latar belakang dan kaum.

"Usaha sebegini harus dikembang dan dipertingkatkan lagi serta wajar diberi pujian dan dijadikan contoh kepada masyarakat Malaysia berbilang kaum yang menyampaikan sumbangan tanpa mengira latar belakang.

"Kita juga akan berusaha mengenal pasti dan membantu keluarga adik Mohd. Adi Alfam kerana banyak ruang dan peluang yang boleh kita berikan bagi membolehkan dia dapat mengecapi nikmat kehidupan seperti kanak-kanak lain," katanya.

Bagi Tai Chun, 63, selama 28 tahun berniaga di kawasan berkenaan, dia amat mengenali keluarga Mohd. Adi Alfam yang telah tiga tahun menetap di PPR tersebut.

"Sumbangan ini adalah bantuan peribadi. Saya tidak keberatan untuk membantu meringankan beban keluarga tersebut," katanya.

Sementara itu, bapa Mohd. Adi Alfam iaitu Benny Karmilan Abdul Wahab berkata, sumbangan wang tunai itu benar-benar dapat mengurangkan bebanan kewangan keluarganya.

"Saya bersyukur sejak Mohd. Adi Alfam disahkan menghidap penyakit ini, kami banyak menerima bantuan pelbagai pihak," kata peniaga gerai makanan yang mempunyai empat anak itu.

Dipetik dari Utusan Malaysia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

ads