Ahad, 30 Disember 2012

01 di lok heng - Google Blog Search

01 di lok heng - Google Blog Search


Fokus PRU: MP <b>Gelang Patah</b> nafi berundur | Minda Mandul

Posted: 20 Dec 2012 11:27 PM PST


AHLI Parlimen Gelang Patah, Tan Ah Eng menafikan khabar angin kononnya beliau akan berundur untuk memberi laluan kepada calon lain bertanding bagi kerusi yang disandangnya.


Sebaliknya beliau hanya akan terima keputusan (berundur) sekiranya diputuskan oleh Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak.


"Isu tidak mahu bertanding dan undur diri daripada politik bukan keluar dari mulut saya. Tidak pasti apakah motif khabar angin ini tersebar.


Bagaimanapun, yang pasti saya masih melaksanakan tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen Gelang Patah sebaik mungkin.


"Soal dicalon atau tidak saya serahkan pucuk pimpinan MCA buat keputusan. Malah saya akan menghormati apa juga yang ditentukan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek kerana saya bukannya jenis yang suka melobi diri untuk dicalonkan semula," katanya.


Beliau yang tenang menghadapi tohmahan itu memilih untuk berdiam diri daripada berbalas kenyataan daripada mana-mana pihak tidak kira di dalam mahupun di luar media.


"Tidak guna mencanang tentang kebaikan kita buat. Ia hanya menyebabkan orang lebih membenci.


Jadi saya lebih suka mendiamkan diri dan buat kerja saya sebagai wakil rakyat. Saya tidak mahu rosakkan parti hanya kerana mahu dicalon semula," katanya.


Ketika bertemu Sinar Harian, Timbalan Ketua Wanita MCA Pusat itu berkata, tsunami politik pada PRU12 berlaku berpunca daripada timbulnya pelbagai isu nasional sekali gus menyebabkan pengundi Cina beralih arah menyokong pembangkang khususnya DAP.


"Kita sentiasa bekerja kuat memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat. Bagaimanapun, pembangkang telah memanipulasi isu nasional untuk meraih sokongan pengundi termasuk isu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Lynas dan terbaru, sistem penguatkuasaan automatik (AES).


"Toleransi antara parti komponen dalam BN turut dijadikan isu kononnya MCA 'tunduk' kepada Umno dan hanya menuruti arahan. Sedangkan kita terus berjuang untuk memastikan kebajikan rakyat termasuk kaum Cina terbela," katanya.


Ah Eng turut mengakui faktor hilang sokongan kaum cina menyebabkan beberapa kerusi Dun di Johor terlepas ke tangan pembangkang sekali gus mencalarkan rekod 100 peratus BN di negeri ini.


"Dun Skudai mempunyai peratus pengundi Cina yang besar iaitu 68 peratus berbanding Melayu dan India. Malah faktor pembangunan menyebabkan migrasi ke kawasan parlimen ini seterusnya berlaku pertambahan pengundi baru.


"Bagaimanapun, saya yakin kita mampu rampas semula Dun Skudai, tetapi perlu letakkan calon boleh menang daripada BN," katanya.


Selain itu, katanya, kemenangan pembangkang tidak memberi makna rakyat suka kepada PR, sebaliknya pengundi tidak mahu mengundi BN atas faktor tertentu yang mengakibatkan sokongan beralih ke arah pembangkang kerana hanya itu sahaja pilihan yang ada.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

ads