Isnin, 18 November 2013

01 di kempas - Google Blog Search

01 di kempas - Google Blog Search


Beberapa yang perlu dijawab oleh MB Johor berkenaan pembinaan <b>...</b>

Posted: 05 Nov 2013 07:35 PM PST

DSC_6404

Kenyataan media Setiausaha Kebangsaan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) merangkap ADUN Mengkibol Tan Hong Pin pada Isnin, 4 November 2013 di Kluang

Pada 26 Oktober 2013 Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin telah mengumumkan di Kluang bahawa projek pembinaan Empangan Kahang yang memakan perbelanjaan sejumlah RM105 juta akan bermula pada bulan November ini. Beliau berkata, projek ini tidak melibatkan pemindahan penduduk atau pengambilan tanah. Sebaik sahaja projek ini selesai, pembekalan air di Kluang akan terjamin sehingga tahun 2035 dan masalah banjir di Kluang juga boleh diselesaikan.

Pembinaan Empangan Kahang merupakan suatu pelaburan awam yang penting dan kehidupan harian seramai 300 ribu penduduk di daerah Kluang akan terus terpengaruh. Menurut jangkaan Jabatan Statistik, populasi di daerah Kluang akan mencecah 400 ribu orang menjelang tahun 2030. Justeru, pembekalan air bersih merupakan perkara yang paling asas dan perlu diberikan perhatian oleh semua.

Setelah menjalankan kajian yang rapi, saya mendapati Menteri Besar tidak memberikan maklumat yang jelas atas beberapa isu penting. Demi kepentingan awam, ingin saya mengemukakan 3 persoalan seperti yang berikut untuk menarik perhatian pihak berkenaan dan mengharapkan jawapan yang jelas daripadanya.

  1. Bagaimanakah projek pembinaan dapat bermula sebelum laporan DEIA diluluskan?

Menurut undang-undang alam sekitar[i] pembinaan empangan merupakan aktiviti yang ditetapkan yang memerlukan kelulusan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling Terperinci (Detailed Environmental Impact Assessment - DEIA) oleh Ketua Pengarah Alam Sekeliling sebelum sesuatu projek itu boleh bermula. Setahu saya, Jabatan Bekalan Air di bawah Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) baru membentangkan laporan DEIA pada 25 Ogos 2013. Laporan DEIA ini telah dipamerkan di Kluang, Johor Bahru dan juga Putrajaya untuk pembacaan dan maklum balas orang awam. Jabatan Alam Sekitar juga telah menetapkan 17 November sebagai tarikh tutup untuk penilaian laporan DEIA. Untuk projek mega seperti ini, adalah wajar bagi Jabatan Alam Sekitar memerlukan masa yang lebih untuk mengumpulkan lebih banyak maklum balas daripada semua pihak.

Sehubungan dengan itu, pengumuman Menteri Besar bahawa pembinaan empangan akan bermula pada bulan November adalah tidak benar melainkan pihak kerajaan sengaja menyalahi undang-undang dan memulakan kerja pembersihan tapak iaitu menebang kayu kayan sebelum laporan DEIA diluluskan.

Laporan DEIA ini jelas menyatakan bahawa tapak pembinaan empangan iaitu bahagian hulu Sungai Kahang merupakan kawasan hutan rizab yang kaya dengan kayu kayan dan pelbagai flora dan fauna (rujuk Bab 6 laporan DEIA). Oleh yang demikian, saya berharap kerajaan tidak memulakan projek selagi laporan DEIA belum diluluskan semata-mata untuk mengaut keuntungan daripada pembalakan.

  1. Adakah benar tiada sebarang tanah yang akan diambil untuk kegunaan pembinaan Empangan Kahang?

Menurut para 4.1.8 laporan DEIA pembinaan jalan masuk sepanjang 2.5km ke kawasan empangan akan melibatkan tanah seluas 10 hektar yang berhampiran dengan Felda Kahang Timur. Kenyataan Menteri Besar bahawa tiada pengambilan tanah akan dilaksanakan adalah sangat mengelirukan dan saya meminta kerajaan supaya memberikan penjelasan atas isu ini.

Sekiranya pengambilan tanah perlu dijalankan untuk tujuan projek ini maka saya berharap tuan punya tanah haruslah dimaklumkan segera. Pihak kerajaan juga perlu berunding dengan mereka sebelum tanah mereka diambil. Sekiranya tuan punya tanah bersetuju atas pengambilan tanah ini, maka pampasan yang munasabah haruslah diberikan.

  1. Bagaimanakah pembinaan Empangan Kahang menyelesaikan masalah banjir di Bandar Kluang?

Warga Kluang terutamanya penduduk kawasan bandar yang sering dihantui masalah banjir akan berasa apabila mendapat tahu bahawa kerajaan mengambil langkah menyelesaikan masalah banjir. Bagaimana pun saya berasa curiga atas kenyataan bahawa pembinaan Empangan Kahang dapat menyelesaikan masalah banjir. Adalah diingatkan bahawa kawasan yang dipengaruhi oleh projek pembinaan Empangan Kahang hanya beberapa perkampungan termasuk Kampung Gajah di bahagian hilir Sungai Kahang yang mana kedudukan bandar Kluang tidak berada dalam kawasan pengairan Sungai Kahang.

Saya berpendapat bahawa usaha kerajaan dalam menyelesaikan masih tidak mencukupi dan lambat. Kerajaan seharuslah melipatgandakan usaha menyelesaikan masalah banjir tetapi bukan mengalihkan tumpuan awam atas isu ini.

Saya juga menyeru supaya isu ini diberikan perhatian oleh semua dan bersama-sama kita meneliti laporan DEIA ini. Kita haruslah membincangkan kewajaran untuk melaksanakan projek ini dan memberikan maklum balas berkenaan projek ini kepada pihak berkenaan. Untuk memudahkan orang awam saya akan memuatnaikkan laporan DEIA ini ke laman Facebook saya (www.facebook.com/hongpintan)

Kerajaan perlu meneliti dan mendapatkan maklum balas yang menyeluruh sebelum memulakan projek pembinaan Empangan Kahang ini yang mempunyai impak yang besar dan mendalam. Saya akan membangkitkan isu dalam persidangan Dewan Negeri yang akan diadakan tempoh hari.



[i] Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 dan Perintah Kualiti Alam Sekitar 1987 (Penilaian Kesan Alam Sekitar – Aktiviti yang Ditetapkan)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

ads