Rabu, 30 April 2014

01 di pagoh - Google Blog Search

01 di pagoh - Google Blog Search


Khir Khalid: Peristiwa Dan Pengajaran <b>Di</b> Lebuhraya PLUS <b>Pagoh</b> <b>...</b>

Posted: 27 Apr 2014 08:18 AM PDT

Assalamualaikum w.b.t & Selamat Sejahtera.
Pada minggu lepas, hati aku tersentap membaca pengalaman dari seorang sahabat blogger kak Lynn Munir tentang peristiwa yang beliau sekeluarga alami di R&R lebuhraya PLUS Pagoh. Betul-betul buat aku sentap. Boleh baca entri beliau di >>>  SINI.
Bukan saja-saja nak cerita, tetapi terpanggil untuk berkongsi peringatan dan pengajaran. Peristiwa yang berlaku ketika usia aku 23 tahun, diwaktu aktiviti berkereta 'modified' menjadi salah satu aktiviti kegemaran. Dengan pendapatan ketika itu yang agak stabil, banyak juga duit yang lebur untuk kereta… dari Satria, Civic Dolphin, Accord hinggalah C230 keluaran 1999 yang akhirnya terpaksa aku batalkan hasrat untuk "convert" ke model E36 sport disebabkan kegawatan… Kepada yang mengenali, pasti tahu pengalaman kami diwaktu 'team' Chicago Bears dan Putera Racing menjadi perbualan kaki-kaki kereta.
Gambar di atas adalah antara kereta yang pernah aku miliki. Kejadian yang memberi pengajaran ini berlaku pada 24 Disember 1999 sekitar jam 11:45 malam… beberapa minit sebelum tarikh sambutan perayaan Krismas. Aku dalam perjalanan pulang ke kampung halaman bersama-sama isteri yang ketika itu sarat mengandung. Aku memandu dengan laju, mungkin disebabkan darah muda masih mereju dalam diri. Meluncur di lorong kanan dari Kuala Lumpur sehinggalah melepasi R&R Pagoh dan mendekati sebuah kereta Daihatsu Charade yang bergerak di lorong kiri lebuhraya. Namun apabila aku hendak memotong, Charade itu meluncur laju seolah-olah mengajak aku 'bermain'.
Atas bebelan isteri, aku memperlahankan kereta dalam kelajuan menurun 175 km sejam. Hati aku terdetik memikirkan bagaimana sebuah model Daihatsu Charade keluaran awal 80an boleh selaju itu tanpa sebarang modifikasi… segalanya standard.. Dari suluhan lampu kereta, jelas kelihatan warna putih kusam dengan karat dan lubang di badan kereta. Charade itu terus meluncur di lorong kiri mengikut kelajuan aku tetapi sedikit dihadapan. Ini menyukarkan aku untuk ke lorong kiri mahupun memecut lebih laju lagi.
Dengan perasaan geram… aku menaikkan lampu (beam). Alangkah terkejut bila mendapati kereta itu tidak mempunyai pemandu.. betul!!.. jelas nampak steering dan seat yang kosong. Tergamam… aku cuba memperlahankan kereta, namun brek aku tidak mencengkam… kereta aku meluncur terus hingga secara tiba-tiba, steering aku disentap ke arah kiri. Cuba bertindak balas membuatkan kereta aku terhoyong hayang hilang kawalan. Akhirnya kereta aku merempuh besi penghadang lebuhraya dan melambung 360 darjah berputar ke udara.
Kereta aku mendarat terhumban dibahagian hadapan dalam keadaan terbalik. Jelas kelihatan percikan api akibat geselan besi kereta kerana terseret dengan jalan sebelum ia terhenti hampir 100 meter dari tempat rempuhan. Mujur isteri aku masih melekat di seatnya kerana tali pinggang keledar yang dipakai. Aku tidak memakai tali pinggang keledar... hanya berpaut pada steering dan badan aku terlantar dibumbung kereta. Huhh.. Alhamdulillah.. semuanya kuasa Allah swt. Kami selamat tanpa sebarang kecederaan… Sekiranya aku tak silap, kejadian ini berlaku di kilometer 137.8, lebuhraya PLUS Pagoh arah selatan.
Dipendekkan cerita… ketika aku membuat laporan kemalangan di balai polis Pagoh. Pegawai yang mengambil laporan terlebih dahulu berkata… "kalau kat Karak sibuk dengan kereta Wolkswagen buruk, kat sini kita ada Charade lama encik.." Menurut beliau lagi… "lebuhraya kat Pagoh ni memang bersetan.. banyak benda halus… itu pun kalau encik nak percayalah"… "saya cakap sebagai kawan je ni, lagi pun ramai yang kena… ada yang selamat, ada yang innalillah…". Menurut beliau lagi, pada minggu lepas dan dua minggu sebelumnya juga telah berlaku kemalangan di kawasan sekitar. Tetapi kedua-dua kemalangan itu telah meragut semua nyawa.
Kini, minat aku terhadap dunia kereta dan trend 'fast & furious' ni dah lama terkubur. Ia menambahkan lagi keinsafan setelah isteri aku selamat melahirkan anak pertama pada tahun 2000. Namun, ada satu perkara yang aku musykil sehingga kini tentang suasana semasa kemalangan itu. Sewaktu kesibukan kereta lain berhenti, menolong serta kesibukan lori tunda menarik kereta… boleh ada ramai budak-budak kecil bermain berkejar-kejaran di kawasan semak dengan semua hanya memakai seluar pendek pada sekitar jam 12 malam. Tambahan lagi, tiada perkampungan yang terdapat di kawasan sekitar. Pagar, parit besar dan semak telah memisahkan antara kawasan PLUS dengan gaung, belukar dan ladang kelapa sawit yang gelap gelita.
Biarpun ada kawan-kawan yang mempersendakan atau mempersoalkan cerita aku tentang budak-budak itu. Ada juga yang cakap.."dah accident ada mistik la pulak".. lantak koranglah nak percaya ke tak... Sesungguhnya, kejadian pelik itu memang berlaku. Ia menjadi persoalan yang meninggalkan aku dan isteri dalam kemusykilan sehingga ke hari ini. Apa pun beringatlah kalau lalu di kawasan tersebut.
Justeru, ingin aku bertanya, ada tak sesiapa diantara pembaca sekelian yang pernah berentap dengan Charade putih ni di Hiway Pagoh?... Berhati-hatilah.  
Haru-biru, ngeri, pelik, musykil... semuanya menjadi pengajaran untuk aku sentiasa beringat. Syukur Alhamdulillah kerana masih dikurniakan kehidupan buat kami… Subhanallah walhamdulillah.

Salam Hormat, Salam Berkat. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

ads