Dari kiri: Ketua Peneroka Felda Bukit Waha, Ab Aziz Abu Bakar, Ketua Peneroka Felda Aping Barat, Husin Japar dan Ketua Peneroka Felda Lok Heng Selatan, Mohammad Bakar.
KOTA TINGGI - Ketua peneroka dari lapan tanah rancangan Felda di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Sedili di sini menghantar memorandum untuk menghalang ceramah politik pembangkang diadakan di kawasan mereka.

Lapan kawasan terbabit ialah Felda Lok Heng Selatan, Felda Lok Heng Barat, Felda Lok Heng Timur, Felda Aping Barat, Felda Aping Timur, Felda Simpang Waha, Felda Bukit Waha dan Felda Easter.

Memorandum diserahkan kepada Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Che Mahazan Che Aik di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi pada satu perjumpaan semalam.

Ketua Peneroka Felda Lok Heng Selatan, Mohammad Bakar berkata, memorandum itu mewakili suara semua penduduk termasu persatuan belia, Gerakan Persatuan Wanita (GPW) serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ada dalam kampung berkenaan.

Menurutnya, penduduk kampung berkenaan sudah sebulat suara bersetuju dalam mesyuarat kampung untuk menolak sekerasnya kehadiran pembangkang di kampung mereka.

"Selama ini kita telah memberi peluang kepada mereka mengadakan ceramah dalam kawasan gugusan ini. Kini, tempoh mereka telah tamat, malah kita tidak mahu mereka datang ke kawasan kampung kami lagi.

"Tambahan pula kita takut jika kehadiran mereka nanti akan mencetuskan provokasi dan seterusnya mencetuskan suasana yang tidak aman," katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Ketua Peneroka Felda Aping Barat, Husin Japar berkata, kehadiran pembangkang tidak memberikan manfaat kepada penduduk, sebaliknya sekadar menyebar perkara yang tidak benar.

Menurutnya, setiap kali ceramah pembangkang diadakan, hanya beberapa orang penduduk tempatan yang hadir di mana selebihnya adalah orang luar.
"Kita takut berlaku pergaduhan. Tambahan pula, yang hadir ke ceramah mereka adalah penduduk luar. Oleh itu, penduduk kampung di sini telah bersepakat dan bersetuju untuk menyerahkan memorandum ini kepada pihak berkuasa," katanya.

Sementara itu, Ketua Peneroka Felda Bukit Waha, Ab Aziz Abu Bakar berkata, penduduk Felda kini telah menerima pelbagai manfaat dan kesenangan hasil daripada pemerintahan kerajaan sedia ada pada hari ini.

Beliau berkata, peneroka juga sudah tidak perlu berhempas pulas tenaga mencari rezeki, sebaliknya hanya duduk di rumah menikmati hasil yang selama ini diusahakan.

"Penduduk di sini semua bersyukur dengan kemudahan yang mereka peroleh sekarang. Malah jika boleh, kita mahu mencegah anasir luar yang cuba membawa fitnah kepada penduduk.

"Kita tidak mahu kehadiran mereka dalam kawasan kampung kami akan meninggalkan pengaruh negatif kepada penduduk," katanya.